Tan Sri Annuar Musa. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Semua perniagaan menggunakan kenderaan saji atau ‘food truck’ di Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak dibenarkan beroperasi berkuatkuasa serta-merta.

Larangan itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan pelaksanaan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang membenarkan golongan peniaga itu beroperasi.

“Pada mula memang kita membenarkan peniaga food truck beroperasi kerana pengunjung akan membeli dan membawa balik makanan.

“Namun mengambil kira situasi perniagaan food truck yang rapat antara satu sama lain dengan jumlah yang banyak, ia menyebabkan pengunjung berkumpul seperti perhimpunan membabitkan orang ramai (mass gathering).

“Jadi kita tidak membenarkan lagi sepanjang tempoh dua minggu ini dan golongan peniagaa food truck telah bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan. – MalaysiaGazette