Prof Dr Thumbay Moideen (kiri) dan Azizi Ahmad pemeteraian MoU tersebut di Kampus GMU, Ajman Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Abedeen Academy Private and International School (Abedeen) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Gulf Medical University (GMU) untuk menjalin usaha sama bagi memberi nilai tambah kepada program pendidikan yang ditawarkan kepada para pelajarnya.

Pengarah Eksekutif Abedeen, Azizi Ahmad berkata, melalui MoU tersebut, ia akan memberi peluang kepada pelajar institusi pengajian tersebut menyambung pelajaran di GMU dalam bidang perubatan.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat membantu pelajar lulusan pra universiti di Abedeen melanjutkan pelajaran di GMU, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena pemeteraian MoU tersebut di Kampus GMU, Ajman Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, GMU diwakili oleh Pengasas Presidennya, Prof. Dr. Thumbay Moideen.

Selain itu, Azizi menerangkan, kerjasama tersebut dapat melicinkan lagi proses kemasukan pelajar Abedeen ke GMU dan juga menggalakkan kerjasama akademik, fakulti dan interaksi pentadbiran serta penglibatan pelajar antara dua institusi pengajian berkenaan.

Selain itu, ia akan dapat meneruskan kecemerlangan Abedeen sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi yang melahirkan pelajar berkualiti.

Abedeen adalah antara institusi pendidikan yang dipilih untuk mewakili Malaysia ke Dubai World Expo di Dubai baru-baru ini oleh Education Malaysia Global Services, syarikat di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan untuk mempromosikan institusi pengajian tinggi peringkat antarabangsa.

Selain itu, tambah beliau, Kumpulan mengunjurkan pendaftaran pelajar pada tahun depan adalah sebanyak 700 orang. – MalaysiaGazette