Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation.

KUALA LUMPUR – Impian skuad hoki negara melakar kemenangan sulung pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 tidak tercapai apabila tewas 1-2 di tangan kelab Surbiton H.C di Surbiton Hockey Club, United Kingdom awal pagi tadi.

Skuad kendalian Arul Selvaraj ketinggalan apabila lawan menjaringkan gol dalam tempoh empat minit pada minit ke-22 dan 26 menerusi gol padang.

Bagaimanapun, Speedy Tigers bangkit merapatkan jurang menerusi Muhammad Najib Abu Hassan menerusi gol padang pada minit ke-47 tetapi gagal mencari gol penyamaan selepas itu.

Sementara itu, Arul memuji persembahan anak buahnya terutama penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman yang beraksi cemerlang pada perlawanan kedua selain melihat masih terdapat beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki

“Kita bermain dalam hujan lebat dan pemain beraksi baik pada kedua-dua 25 minit. Walaupun tewas, kita menampilkan pergerakan menarik dan kawalan bola yang baik.

“Pujian harus diberikan kepada Hafizuddin yang bermain dengan cemerlang dengan menyelamatkan percubaan lawan,” kata Arul.

Pada aksi pertama dua hari lalu, skuad Malaysian Tigers sekadar seri 2-2 menentang kelab Old Georgians HC.

Selepas ini, skuad kendalian Arul akan bertemu dua lagi pasukan kelab sebelum menentang skuad kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis. – MalaysiaGazette