Eric Bailly. Foto SkySports.

LONDON – Kelab Perancis, Olympique Marseille tidak akan mengaktifkan pilihan pembelian untuk menandatangani Eric Bailly dengan perjanjian tetap, lapor pakar perpindahan Fabrizio Romano.

Ini bermakna Bailly akan kembali ke Manchester United apabila tempoh pinjamannya tamat pada penghujung Jun ini.

Bek tengah itu akan bersedia untuk pasaran perpindahan akan datang selepas United merancang untuk melepaskannya.

Bailly yang akan tamat kontrak beliau bersama United pada Jun 2024  hanya membuat 19 penampilan bersama Marseille musim ini termasuk 13 penampilan di saingan Ligue 1.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu menyertai United pada 2016 tetapi hanya mendapat sedikit masa permainan dalam musim kebelakangan ini.

Dia hanya tiga kali disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk aksi Liga Perdana dalam kempen sebelum ini.

Dia juga masih tidak bermain di bawah kendalian pengurus baharu, Erik ten Hag musim ini sebelum dipinjamkan.

Bailly tidak mendapat tempat selepas kehadiran Raphael Varane dan Lisandro Martinez. – Agensi