Ketua Polis Putrajaya, ACP Fadzil Ali (lima kiri) bersama pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam (lapan kiri), Ustaz Abdullah Khairi (sembilan kiri), Ustaz Fauzi mustafa (tiga kanan) ketika hadir pada Acara Murabbi Ride 2020 di Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 16 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Geng Surau Putrajaya (GSP) mengambil inisiatif dalam usaha menyatukan golongan muda sempena Hari Malaysia yang disambut di seluruh negara hari ini.

Menerusi program Murabbi Ride 2020, kira-kira 40 belia sekitar Putrajaya dikumpulkan bagi menyertai kayuhan basikal sejauh 10 kilometer mengelilingi sekitar Tasik Putrajaya.

Penasihat GSP, Hamdan Mohamad berkata, objektif program yang julung-julung kali diadakan itu adalah bagi mendekatkan golongan muda dengan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pendakwah.

Katanya, dalam membina sesebuah negara, tiga elemen diperlukan iaitu ulama, keselamatan dan anak-anak muda yang perlu dibimbing oleh agamawan agar mereka tidak tersesat ke kancah yang boleh memudaratkan.

“Golongan muda ini merupakan aset yang sangat berharga kepada negara. Justeru, mereka perlu didekatkan dengan agama kerana bimbingan yang betul akan menjadikan mereka insan yang boleh berbakti kepada bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini hari ini.

Hamdan berkata, program tersebut menampilkan beberapa ustaz selebriti antaranya Abdullah Khairi, Prof madya Mohd Izhak Arif, Nor Hisham, Imam Muda Asyraf, Zakaria Osman, Jafri Mahmudi dan Fauzi Mustafa.

Katanya, program yang dirancang sejak 25 hari yang lalu dengan mendapat persetujuan pihak PDRM telah dimulakan seawal subuh pagi tadi dengan mengadakan kuliah yang disampaikan oleh ustaz selebriti.

Ujar beliau, kesemua peserta yang mengikuti program anjuran GSP itu mendapat hebahan daripada persatuan-persatuan yang disertai selain makluman di laman-laman sosial.

Tambah beliau, aktiviti yang diadakan turut mendapat kerjasama daripada PDRM menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Fadzil Ali berkata, menerusi program tersebut ia secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan pihak polis selain mampu menjalinkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam apa sahaja perkara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya warga Putrajaya agar mengikuti program-program seperti itu kerana ia lebih selamat berbanding jika melakukan kayuhan sendiri tanpa pengawasan daripada pihak berwajib.

“Ikut program macam ini lebih baik dan selamat kerana ada kawalan keselamatan dan trafik daripada pihak polis. Memang di Putrajaya ini ramai yang mengambil peluang terutama pada hari cuti untuk membuat kayuhan tetapi ia tidak ada jaminan keselamatan kerana tiada pemantauan,” ujarnya.

Menerusi Murabbi Ride 2020 itu, seramai 10 anggota dari IPD Putrajaya turut serta dalam kayuhan dengan dikawal oleh anggota pasukan trafik, katanya. – MalaysiaGazette