Tertuduh yang dikenali Vijay Emergency dibawa anggota polis bagi menghadapi pertuduhan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak pada 28 Oktober lalu di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor pada 10 November 2020. Foto SYAFIQ AMBAK.

SEPANG – Seorang artis India tempatan popular yang dikenali ‘Vijay Emergency’ dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas dakwaan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak yang merupakan kenalan rapatnya dalam kejadian di Sepang pada 28 Oktober lalu.

Tertuduh, Vijayan Palaniyappan yang juga merupakan seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Kertas pertuduhan telah dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Nur Izzaty Sulaiman dan tertuduh mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan dikenakan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bersabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Vijay Palaniappan yang beralamat di Taman Wahyu, Sentul didakwa telah membunuh Seri Ganis Kanapathy Pillay Krishnan, 42.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Oktober lalu antara jam di antara 2.38 pagi hingga 4.50 pagi bertempat di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2,Airport Business Centre Kota Warisan, Sepang.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah sekitar jam 8.45 pagi tadi dengan tangan bergari dan baju lokap oren sebelum masuk ke dalam kamar untuk dan menunggu majistret untuk pendakwaan kes.

Sebelum tuduhan bermula, suspek yang duduk di kandang tertuduh berbisik ke arah pasangan suami isteri warga emas dipercayai ahli keluarganya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ayuni Nur Izzaty kemudian menetapkan 8 Februari 2021 sebagai tarikh sebutan kes untuk mendapatkan laporan forensik dan DNA.

Dalam satu perkembangan berasingan, tertuduh merupakan Presiden kepada Persatuan Artis-Artis India Malaysia selain Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan.

Tertuduh merupakan kenalan akrab dan persahabatan yang terjalin selama lebih lebih 20 tahun bersama mendiang.

Pada 28 Oktober lalu Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, suspek pertama kawan rapat kenalan mangsa berjaya ditahan dan mengklasifikasikan kes sebagai bunuh dan disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan.

Semalam dalam kenyataan berasingan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, motif kejadian adalah berkait dengan isu pelaburan hartanah dan insurans antara suspek dan simati yang mana suspek ingin mendapatkan keuntungan menerusinya.

Pada awal selepas kejadian, mereka direman tujuh hari sebelum disambung reman sehingga 10 November ini untuk membantu melengkapkan siasatan polis.

Suspek utama kes berkenaan telah dicekup di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 4.30 petang semasa mendapatkan rawatan untuk kecederaan melecur di kedua-dua tangan dan betis kaki kiri akibat perbuatan jenayah itu.

Fadzil dalam kenyataan 30 Oktober lalu mengesahkan proses bedah siasat terhadap mayat si mati oleh Forensik Hospital Serdang juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah pada anggota badannya dan leher selepas diiris menggunakan senjata tajam oleh suspek sebelum disyaki dibakar oleh suspek bersama kereta Toyota Harrier yang juga disahkan berdaftar atas simati yang merupakan jurutera tapak beralamat di Subang Jaya.

Pada 4 November lalu padanan DNA ahli keluarganya juga mengesahkan simati merupakan jurutera tapak dan juga pemilik kenderaan yang rentung dibakar dalam kejadian pada 3.30 pagi di kawasan semak samun berhampiran Stesen ERL Salak Tinggi, bersebelahan dengan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre Kota Warisan.

Saksi awam yang tinggal berhampiran kawasan kejadian itu mendakwa mendengar letupan kuat sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

Anggota bomba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di tempat kejadian pada jam 4.47 pagi memadamkan api kereta yang hangus sebelum menjumpai mayat di tempat duduk pemandu kereta dalam keadaan rentung 90 peratus sebelum diserahkan kepada polis.

Siasatan polis di lokasi kejadian juga berjaya menemui kesan kebakaran pada jarak 10 meter dari kenderaan bersama mayat itu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat rentung: Tiga suspek disambung reman 6 hari