Dua orang dari tiga suspek kes bunuh dan bakar lelaki yang ditemui rentung dalam kenderaan Toyota Harrier dibawa oleh anggota Polis untuk di sambung reman ketika di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2020.

SEPANG – Tiga kontraktor yang merupakan yang disiasat dalam  kes bunuh dan bakar seorang jurutera dalam kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Toyota Harrier baru-baru ini telah disambung reman enam hari lagi.

Artikel berkaitan:Lelaki rentung dalam SUV terbakar di kawasan belukar

Mayat rentung dalam Toyota Harrier mangsa kes bunuh

Mangsa rentung Toyota Harrier parah dihiris

Polis tahan suspek ketiga kes lelaki mati rentung dalam kereta

Polis akan mohon reman 2 suspek kes lelaki rentung dalam SUV disambung 

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret, Sepang, hari ini dengan berbaju lokap dan tangan bergari.

Ketiga-tiga mereka dikatakan rakan baik mangsa tiba di mahkamah pada jam 9 pagi sebelum dihadapkan depan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman untuk permohonan sambung reman terhadap mereka.

Ayuni membenarkan sambung reman selama enam hari lagi  bermula hari ini hingga 11 November ini untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka kemudian dibawa keluar setengah jam kemudian sebelum beredar menaiki van polis.

Suspek-suspek ituberumur antara 24 tahun dan 42 tahun, berasal dari Klang, Selangor dan Batu Caves telah ditangkap pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Terdahulu mereka direman selama tujuh hari sehingga 5 November dan 6 November ini.

 

Lelaki yang dipercayai suspek pertama kes bunuh dan bakar seorang jurutera hadir di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor untuk sambung reman dengan tangan berbalut akibat cedera kesan melecur. foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2020.

Pada 28 Oktober lalu sekitar jam 3.30 pagi, polis menemui mayat rentung dalam Toyota Harrier bersebelahan dengan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen ERL Salak Tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat  dalam kenyataan pada 30 Oktober lalu berkata, kenderaan yang didaftarkan di Subang Jaya itu dimiliki seorang lelaki India.

Malah, beliau juga mendedahkan laporan bedah siasat ke mangsa mendapati dia parah diiris sebelum dibakar bersama kenderaannya.

Dalam perkembangan terbaharu siasatan kes ini, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi pagi tadi mengesahkan hasil keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa sudah diperoleh dan membuktikan mayat yang rentung itu adalah pemilik kenderaan terbabit.

Beliau juga mengakui, suspek pertama kes berkenaan ditahan di Hospital Kuala Lumpur sekitar 4.30 petang pada 29 Oktober lalu ketika sedang menerima rawatan.

Suspek itu menerima rawatan akibat kesan melecur akibat jenayah kebakaran pada bahagian tubuh badan.

Suspek pertama ketika dibawa ke mahkamah untuk disambung reman pagi tadi dengan kedua-dua tangan dan betis kiri berbalut dipercayai akibat kecederaan kebakaran semasa terlibat jenayah itu – MalaysiaGazette