GEROGETOWN – Sesuai dengan peredaran zaman, pembuatan songkok kini banyak dihasilkan secara moden namun di Pulau Pinang songkok buatan tangan Abdul Kader Mohammed Mydin tetap menjadi pilihan ramai.

Ia kerana beliau merupakan pengusaha tunggal yang menghasilkan songkok secara tradisional.

Menceritakan legasi pembuatan songkok menggunakan jahitan tangan serta mesin jahitan, lelaki berusia 48 tahun itu merupakan generasi ketiga dan perniagaan itu diwarisi daripada mentuanya Haja Mohideen Mohd Sharif.

Katanya, berbekalkan minat, seni pembuatan halus yang dipelajari daripada bapa mentua serta tiada pewaris selepasnya membuatkan Abdul Kader nekad meneruskan perniagaan tersebut.

Meskipun perniagaan itu tidak mendatangkan pendapatan lumayan namun tetap mendapat permintaan tinggi kerana tiada lagi pembuat songkok tradisional lain di negeri itu.

Abdul Kader.

Kebanyakan songkok yang dijual di pasar raya adalah buatan mesin dan boleh dihasilkan secara pukal namun daripada segi kualiti ia tidak setanding buatan tangan yang mampu bertahan empat hingga lima tahun.

“Kita mulakan proses penghasilan songkok dengan penyediaan rangka dalaman yang dibuat daripada 18 lapisan terdiri daripada kertas surat khabar lama yang dijahit dengan satu lapisan kertas coklat dan lapisan kain.

“Ia kemudian dipotong menjadi bentuk bujur untuk bahagian atas mengikut saiz kepala sementara rangka berbentuk segi empat tepat daripada bahan yang sama digunakan untuk membuat bahagian dinding atau tepi songkok,” ujarnya.

Mencantumkan rangka atas yang bujur dengan rangka tepi songkok merupakan satu proses yang perlu dilakukan dengan cermat.

Songkok yang dihasilkan Abdul Kader mampu bertahan lama susulan dia menggunakan jahitan tangan serta 18 lapisan kertas, kotak bagi menghasilkan sebuah songkok.

“Songkok yang telah siap mestilah boleh muat dengan sempurna di atas kepala pelanggan yang menempahnya selain memiliki keunikan setiap satu songkok mempunyai lengkok berbeza berbanding dengan buatan mesin yang kesemuanya sama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah Abdul Kader, setiap satu songkok dijual pada harga RM45 kerana mereka menggunakan kain baldu yang diimport dari Korea.

Bagaimanapun, katanya, harga songkok yang menggunakan lapisan tikar mengkuang lebih mahal kerana tikar itu sendiri mempunyai nilai tertentu.

Mengulas mengenai pelanggan dan masa yang diperuntukan bagi setiap satu songkok, Abdul Kader  menghabiskan masa dua jam bagi menghasilkan satu songkok.

Abdul Kader mengambil masa dua jam untuk menyiapkan satu songkok yang ditempah pelanggannya.

“Selain pelanggan sini (Pulau Pinang) syaa juga dapat tempahan daripada orang Kedah, Perak, Kuala Lumpur serta Singapura.

“Jika dulu kami (bersama bapa mentua) mampu hasilkan 15 songkok dalam tempoh 13 jam namun kini saya seorang diri hanya boleh menyiapkan enam atau tujuh songkok sahaja,” akuinya.

Mengulas mengenai penjualan pada Hari Raya Aidilfitri, Abdul Kader sudah menutup tempahan sebulan sebelum Ramadan susulan khuatir tidak mampu menyiapkan tempahan bagi hari raya.

“Selalunya berdua (bersama bapa mentua) kami ambil tempahan sehingga 600 songkok pada musim raya namun tahun ini saya hanya terima 350 tempahan.

Dia turut menerima tempahan dari Singapura.

“Itu pun memerlukan saya bekerja hampir 18 jam sehari untuk menyiapkan tempahan tersebut. Saya tak mahu kecewakan pelanggan tambahan pula untuk kegunaan pagi Syawal sebab itu saya ambil tempahan ikut kemampuan.

“Pendapatan tambahan itu tak memberi makna jika saya tidak mampu memberi hasil serta kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Selain songkok Melayu, Abdul Kader turut menghasilkan songkok Jinnah (songkok Pakistan), Tarbus dan songkok Karzi.  – MalaysiaGazette