Sultan Ibrahim mencuba kereta Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China yang dihadiahkan kepada baginda.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong berharap lebih banyak syarikat China akan melabur di Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Sultan Ibrahim bertitah, China adalah salah satu kuasa ekonomi dunia yang penting dan rakan dagang yang besar kepada Malaysia.

Justeru baginda berharap Malaysia menggunakan keupayaan uniknya untuk memanfaatkan dan meningkatkan jumlah dagangan, pertukaran teknologi serta turut mengembangkan eksportnya ke China.

Baginda bertitah demikian selepas menerima mengadap Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yuhing pagi tadi.

Pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.

Dalam pertemuan yang sama, baginda turut dipersembahkan dengan Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China dan Sultan Ibrahim merupakan pemilik pertama di dunia.

Kereta keluaran FAW Group yang menampilkan rekaan gaya retro ini digunakan oleh pemimpin tertinggi China bagi acara kenegaraan serta diplomatik.

Hadir sama, Presiden FAW Hongqi Global, Wang Lingyu serta tokoh perniagaan Tan Sri Lim Kok Thay dan Datuk Lim Chee Wah. – MalaysiaGazette