Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal antara Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dijangka tidak akan mengumumkan pembatalan tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemerhati politik, Lim Sian See yang membuat ramalan itu berkata, ia kerana Kerajaan Madani tahu mereka lemah pada tujuh kerusi tersebut serta tidak mahu mengadakan pilihan raya kecil (PRK) ketika ini.

“Sekiranya Speaker tak umum kerusi sudah dikosongkan berbuat maka Kerajaan Madani akan undang tuduhan bahawa mereka bermain kotor, bacul dan anti-demokrasi.

“Maka keadaan ini akan dilawan oleh Parti Bersatu dan Perikatan Nasional dalam mahkamah untuk bertahun-tahun lamanya sehingga kes tidak lagi relevan pada PRU16.

“Kita tunggu dan lihat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Bersatu mengumumkan keahilan tujuh wakil rakyat, termasuk enam ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor sudah tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menerima pindaan perlembagaan parti tersebut.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala ADUN terbabit pula adalah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

Sian See berkata, tujuh wakil rakyat yang menyokong Anwar bukan dipecat kerana jika dipecat mereka masih boleh menjadi wakil rakyat bebas dan tak perlu mengosongkan kerusi seperti dalam Akta Lompat Parti.

Tetapi jika keahlian gugur dengan automatik kerana melanggar perlembagaan parti, ia dikira mereka sudah letak jawatan dari parti dan perlu kosongkan kerusi untuk PRK.

Sekiranya mereka mengikut Akta lompat parti dan semangat demokrasi maka tujuh kerusi tersebut patut dikosongkan sebab tujuh wakil rakyat ini dipilih rakyat kerana mereka mewakili Bersatu.

Jika mereka bukan lagi dari Bersatu maka mereka tidak lagi penuhi hasrat dan niat pengundi ketika mereka terpilih, tambah beliau. – MalaysiaGazette