BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap.

Operasi pasaran BNM akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur.

Hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing.

“BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut bank pusat itu, ia telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan, yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda. – MalaysiaGazette