Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta insititusi perbankan mencari kaedah baharu untuk berkomunikasi dengan pelanggan bagi mengelak peningkatan kes penipuan telekomunikasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini kerana kaedah serta sistem berkomunikasi yang digunakan oleh bank-bank untuk berhubung pelanggan mereka hampir sama dan turut digunakan oleh sindiket penipuan.

Katanya, antara modus operandi kerap dilaporkan dalam kes penipuan dalam talian yang dikesan polis adalah penggunaan panggilan telefon untuk menghubungi mangsa.

“Situasi ini menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat yang membuat ketetapan bahawa apa jua panggilan yang diterima daripada mana-mana nombor tidak dikenali adalah ‘scammer’.

“Saya sendiri pernah menerima panggilan daripada pihak bank menggunakan nombor tidak dikenali dan meminta pengesahan tanpa beritahu tujuan menghubungi saya. Apabila saya bertanya kenapa perlu sahkan dahulu, pemanggil beritahu ia prosedur ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kaedah digunakan itu turut digunakan scammer dan ia berisiko kepada masyarakat sehingga ada yang terpaksa tidak melayan panggilan tulen dari institusi perbankan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, perkara itu sedikit sebanyak menimbulkan kesukaran kepada bank untuk berhubung dengan pelanggan.

Sementara itu, Ramli berkata, Ramli berkata, sebanyak 871 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan pada sambutan Hari Raya Aidlfitri membabitkan nilai kerugian berjumlah RM37.2 juta untuk tempoh 1 hingga 14 April lalu.

Beliau berkata, daripada 871 kes yang laporkan itu, jenayah penipuan  telekomunikasi mengungguli carta dengan 342 kes, disusuli jenayah e-dagang iaitu sebanyak 217 kes.

Tambah beliau, sebanyak 157 kes membabitkan jenayah pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud (112 kes), jenayah e-kewangan (29 kes) dan akhirnya jenayah love scam merekodkan 14 kes.

“Jumlah ini bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 1,465 kes dan nilai kerugian RM56.7 juta.

Mengulas lanjut, kata Ramli, bagi tahun ini sehingga 14 April, JSJK merekodkan 8,913 kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM835 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 10,010 kes dan nilai kerugian RM504 juta.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) melalui mesej pautan dikesan kembali aktif apabila 18 kes dilaporkan melibatkan mangsa berkerugian sebanyak RM229,868 untuk tempoh antara 1 Januari hingga 17 April lalu.

Tambah beliau, mangsa yang menekan pautan tersebut akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan atas talian milik mereka termasuk nombor OTP (Kata Laluan Satu Kali) yang diterima.

“Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” ujarnya sambil menambah siasatan lanjut mendapati sindiket itu mula kembali menggunakan modus operandi sejak dua minggu lalu.

Ramli turut menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaharu sindiket penipuan yang memberi hadiah botol percuma dari rumah ke rumah, seperti yang tular di laman media sosial, baru baru ini.

Beliau berkata, mangsa yang perlu mengimbas kod QR diminta memasukkan maklumat perbankan yang akan mengakibatkan mereka kehilangan wang daripada akaun bank.

Katanya, walaupun setakat ini tiada laporan polis diterima namun polis percaya taktik baharu penipuan itu harus dihebahkan kepada orang ramai. – MalaysiaGazette