Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bergambar beramai-ramai selepas hadir ke Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desas desus dakwaan kononnya MCA dan MIC memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sebelum tarikh pengundian pada 11 Mei depan.

Beliau berkata, laporan yang tersebar mengenai dakwaan seperti itu adalah tidak tepat.

Menurutnya beliau sendiri telah dihubungi Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menyatakan akan membantu Pakatan Harapan (PH) pada PRK tersebut.

“Tak betul, Presiden MIC call saya bagitahu dia akan pergi esok Isnin. You dengar dari siapa?

“Dia kata dia akan tolong di Kuala Kubu Bharu. Vignes sebut macam itu. Tak betul laporan-laporan yang kata dia takkan bagi kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, MCA dan MIC membuat keputusan untuk tidak berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon bertanding bukan daripada komponen BN.

Keputusan itu dibuat susulan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pihaknya tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu sebaliknya memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah. – MalaysiaGazette