Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Kritikan terbuka Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap kepimpinan UMNO Selangor kini sudah selesai.

Itu tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO menghormati keputusan Tengku Zafrul melepaskan jawatan Bendahari UMNO Selangor yang digalas sebelum Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), April tahun lalu.

“Tak apa sudah selesaikan, jumpa dengan beliau (Tengku Zafrul) dan Datuk Megat,” katanya kepada pemberita di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu hari ini.

Megat merupakan Pengerusi Barisan Nasional Selangor.

Pada 6 April lalu, Tengku Zafrul meletak jawatan bendahari UMNO Selangor sebelum itu mendakwa tiada usaha gigih memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN15, Ogos tahun lalu.

Beliau yang kekal sebagai Ketua Bahagian UMNO Kota Raja mendakwa prestasi merosot apabila hanya menang dua dari 12 kerusi ditandingi sepatutnya menjadi amaran untuk berubah namun sehingga kini tiada post mortem dilakukan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menghormati keputusan Tengku Zafrul yang melepas jawatan Bendahari UMNO Selangor selepas setahun menggalas jawatan itu.

“Tengku Zafrul letak jawatan bendahari, tak apa, itu kehendak beliau,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, beliau memberikan tugas baharu berkaitan politik kepada Tengku Zafrul dan beliau akan memantau ptestasinya secara dekat.

“Saya bincang dengan Tengku Zafrul, ada tugas lain yang saya berikan kepada Tengku Zafrul untuk menyusun strategi dan melakukan sesuatu daripada segi politik di luar kerangka UMNO dan BN.

“Tugas itu beliau tahu dan saya tahu, Insya-Allah saya akan pantau prestasi beliau di dalam tugas baharu itu. Saya yakin beliau boleh melakukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette