Tindakan penguatkuasaan yang diketuai oleh Timbalan Datuk Bandar MBDK,Mohd Zary Affendi Mohd Arif melibatkan jabatan teknikal dalaman dan agensi luar antaranya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor dan Polis Klang Selatan.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang beroperasi tanpa kebenaran termasuk 16 premis di tapak tanah rizab sekolah, Jalan Langat, Bandar Botanik, Selangor.

Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, kesemua premis berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta ekoran aduan oleh penduduk, berkenaan dengan kerosakan jalan disebabkan kenderaan yang keluar masuk, sistem saliran dan gangguan bunyi bising.

Menurutnya, pihak MBDK telah mengeluarkan arahan selaras peruntukan di bawah Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran daripada Majlis.

Selain itu, kertas siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 ditetapkan untuk sebutan pada 16 Mei 2024.

Operasi diketuai oleh Timbalan Datuk Bandar, Mohd Zary Affendi Mohd Arif dan turut disertai oleh jabatan-jabatan teknikal dalaman, pemimpin-pemimpin setempat, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor dan Polis Klang Selatan.

“MBDK memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan awam disamping peraturan undang-undang yang diabaikan oleh pihak berkenaan sebelum memulakan sesuatu pemajuan,” katanya.

Tambah Norfiza, operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa melibatkan operasi bersepadu jabatan dalaman dan agensi luar dalam memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette.