Chan Foong Hin menyampaikan bantuan Skim Insentif Ternakan dengan Sawit (ITe) kepada pekebun kecil daerah Telupid, Sabah

TELUPID – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pekebun kecil sawit merebut peluang memohon Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

Kerajaan telah menaik taraf skim tersebut kepada skim geran padanan untuk memudahkan pembiayaan kewangan bagi pekebun kecil sawit melaksanakan usaha penanaman semula sawit.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan dana sebanyak RM100 juta untuk pelaksanaan TSPKS 2.0 bagi kerja-kerja penanaman semula sawit bagi tahun 2024.

“Saya menyeru para pekebun kecil sawit mengambil peluang bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan semula potensi pendapatan melalui tanaman semula pokok sawit tua,” katanya.

Tambah beliau, krisis antarabangsa seperti pergolakan di Timur Tengah dan Eropah Timur yang kian menegang telah meningkatkan harga minyak mentah global serta menjejaskann pengeluaran minyak dan lemak dunia yang menyumbang kepada pengukuhan harga minyak sawit yang kini melebihi paras RM4,000 satu tan.

Pengusaha sawit yang telah melaksanakan penanaman semula pastinya menjangkakan pendapatan lumayan daripada penghasilan buah tandan segar (BTS) pada tahap produktiviti yang sedang memuncak.

Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan bantuan lain seperti Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) bagi ternakan unggas untuk memberi kapasiti serta menampung pendapatan pekebun kecil sawit sebagai galakan penanaman semula.

Foong Hin berkata, sehingga 31 Mac 2024, sebanyak 355 projek integrasi ternakan telah diluluskan di negeri Sabah yang terdiri daripada 13 projek ternakan ayam dan empat projek ternakan itik di daerah Telupid.

Lebih 200 peserta program tersebut dalam kalangan pekebun kecil sawit telah diberikan pendedahan serta maklumat mengenai Skim TSPKS 2.0 dan Amalan Pertanian Baik (GAP) untuk memperkasakan daya saing serta kemahiran mengurus ladang sawit. – MalaysiaGazette