Isham Jalil.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Isham Jalil menjelaskan, representasi permohonan maafnya kepada badan kehakiman dibuat selepas beliau bersetuju menerima cadangan daripada Peguam Negara (AG).

Katanya, persetujuan itu dibuat kerana kos guaman yang agak tinggi dan dalam masa yang sama mahu menumpukan perhatian kepada satu lagi kes mahkamah yang melibatkan ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan pembelian saham Heitech Padu.

“Yang ini (kes melibatkan Farhash dan Heitech Padu) adalah kes yang lebih besar dan penting untuk saya lawan dan beri perhatian dan mendapat sokongan Peguam Negara dan badan kehakiman.

“Tidak bijak dan tidak masuk akal jika saya mengharap sokongan dan budi bicara kehakiman dalam satu kes tetapi melawan mereka dalam satu kes yang lain.

“Oleh itu pada ketika ini saya perlu pilih lapangan perjuangan (choose the battle) saya dengan baik dan bijaksana. Kali ini saya terpaksa mengalah dengan Peguam Negara dan badan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu faham bahawa beliau tidak boleh menang dalam semua perkara dan setiap perjuangan pasti ada banyak kekalahan sebelum seseorang itu berjaya.

Tambahnya, itu adalah asam garam kehidupan dalam perjuangan beliau sebagai seorang rakyat dan ahli politik.

Terdahulu media melaporkan Isham telah memohon tawaran untuk meminta maaf tanpa syarat berhubung ulasannya yang didakwa telah menghina mahkamah.

Beliau ketika ini sedang didakwa menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?.

Rakaman itu didakwa telah menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disiarkan di laman media sosial Facebook The Malaya Post pada 30 September 2023.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isham tawar permohonan maaf tanpa syarat bagi kes hina mahkamah