KUALA LUMPUR – Peugeot 408 dengan pemasangan tempatan dilancarkan hari ini, tampil bersama rekaan terkini dan padat dengan kejuteraan serta teknologi termaju.

Ia adalah model Peugeot pertama yang dilancarkan oleh Stellantis Malaysia.

Peugeot 408 serba baharu menyerlahkan perubahan radikal berbanding model terdahulu yang membolehkannya memenangi anugerah reka bentuk terbaik Red Dot 2023 yang berprestij.

Gayaan luaran Peugeot 408 direka berdasarkan kepada manifesto rekaan baharu iaitu ‘The Language of Attraction’ yang menunjukkan kelahiran semula jenama Peugeot yang menggabungkan tiga nilai utama iaitu memikat (allure), emosi (emotion) dan kecemerlangan (Excellence).

Ketua Pegawai Operasi, ASEAN dan Pengedar Am, Stellantis, Daniel Gonzalez berkata, Peugeot408 serba baharu merupakan sebuah model yang benar-benar unik serta tidak dapat dijangka dari setiap sudut.

Ciri-cirinya yang progresif telah menawan hati pengguna dan mendapat pelbagai anugerah di seluruh dunia. Di rantau ASEAN, model 408 serba baharu membentuk 30% daripada kereta Peugeot yang dijual di Vietnam dan Taiwan, membukitikan daya tarikannya.

“Kami teruja untuk membawakan ikon terkini yang dipasang di kilang Stellantis Gurun, Kedah kepada para pelanggan di Malaysia,” katanya.

Peugeot 408 serba baharu sememangnya unik buat pelanggan yang mahukan sebuah kenderaan berbeza daripada yang ada di pasaran segmen C arus perdana.

Ditawarkan dalam tiga varian, penambahan baharu ke dalam saluran pengeluaran tempatan ini jelas membuktikan komitmen Peugeot untuk memperluaskan kehadiran di pasaran Malaysia, kata Jamie Francis Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia.

“Peugeot 408 serba baharu sememangnya unik buat pelanggan yang mahukan sebuah kenderaan berbeza daripada yang ada di pasaran segmen C arus perdana.

“Pada masa sama, Peugeot 408 serba baharu menandakan satu era baru dalam usaha menjadikan Peugeot kembali sebagai jenama pilihan yang menawarkan gabungan rekaan avantgarde serta teknologi terbaik di negara ini,” tambahnya.

Model terbaharu ini menampilkan rekaan luaran yang menawan dengan ‘allure” yang Peugeot definisikan sebagai “keterujaan dan penuh tarikan” adalah nilai utama dan mewakili segala yang dilakukan oleh jenama ini.

Siluet fastback yang dinamik itu bukan sekadar sangat estetik, malah ia menyerlahkan garis badan dengan elemen singa yang disalurkan menerusi pelbagai elemen gayaan. Reka bentuk yang menawan ini menunjukkan hala tuju rekaan masa depan kenderaan ini.

Model Peugeot 408 serba baharu mengetengahkan emblem jenama yang terkini. Ia diletakkan di tengah-tengah yang nyata nampak harmoni bersama gril jeriji vertikal yang diwarnakan dengan warna badan.

Suluhan cahaya pula dihasilkan oleh Peugeot Signature Light serba baharu – kluster lampu utama LED tersendiri yang turut merangkumi sepasang jalur lampu nyalaan siang berbentuk taring singa. Varian GT dilengkapi lampu utama dengan teknologi Matrix LED yang menampilkan fungsi lampu tinggi automatik untuk suluhan cahaya optimum dalam suasana gelap.

Beralih daripada profail sisi dinamik kepada garis bumbung yang condong, engsel berlekuk pada Peugeot 408 serba baharu digabungkan dengan rekaan telinga kucing (Cat Ears) untuk menghasilkan koridor aerodinamik yang optimum pada lid spoiler.

Peugeot 408 serba baharu menampilkan rekaan tiga cakaran 3D yang tersendiri, lampu LED belakang diserlahkan lagi dengan lekuk pada bampar belakang.

Elemen rekaan ini disertakan dengan ciri-ciri inovatif lain pasti membuatkan orang berpaling untuk melihat Peugeot 408 serba baharu yang memberikan impresi yang berpanjangan.

Dibina berasaskan kepada EMP2 (Efficient Modular Platform) multi-tenaga, Peugeot 408 juga memiliki dimensi 4,687mm panjang, 1,859mm lebar dan tinggi 1,487mm. Dengan jarak roda sepanjang 2,787mm dan kelegaan tanah setinggi 189mm, ia memberikan penampilan yang gagah di atas jalan raya.

Pengalaman pemanduan Peugeot 408 yang mengujakan itu datang daripada enjin PureTech turbo 1.6 liter baharu yang canggih.

Enjin tersebut yang mampu menjana kuasa sehingga 218hp (160kW) pada 5,750rpm dan tork 300Nm pada 2,000rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik EAT8 8-kelajuan pintar.

Pantas dan lincah, Peugeot 408 serba baharu mampu memecut dari titik pegun ke 100km/j dalam masa hanya 8.8 saat. Gabungan itu memberi peluang kepada pemandu untuk menikmati prestasi yang luar biasa.

Dengan prestasi mendahului kelasnya yang digabungkan bersama profail sebuah fastback yang dinamik, Peugeot 408 serba baharu bukanlah sebuah sedan atau SUV. Sebaliknya, ia berada di dalam segmen tersendiri.

Peugeot 408 serba baharu hadir dalam empat pilihan warna menarik – hitam (Perla Nera Black), putih (Okenite White), kelabu (Artense Grey) dan biru (Obsession Blue) bersama tiga kemasan atau varian berbeza iaitu Allure, Premium dan GT.

Model baharu ini ditawarkan pada harga RM 146,055 untuk varian Allure, RM 166,055 bagi Premium dan RM196,055 untuk model flagship GT. Harga itu termasuk jaminan selama 7 tahun atau perbatuan sejauh 200,000km, mana-mana tiba dahulu. – MalaysiaGazette