Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan beliau mengeluarkan kenyataan tidak konsisten mengenai hutang negara.

Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang bahawa dasar kewangan fiskal belanjawan itu tidak memenuhi pelbagai tuntutan juga tidak benar.

“Apa yang diwar-warkan itu sebahagiannya itu tidak berdasarkan fakta dan sebahagiannya itu hanya lontaran politik yang tidak bertanggungjawab.

“Saya berikan angka-angka ini dan ia dipertahankan dari sudut kebenarannya dan Kementerian Kewangan dari masa ke semasa memang mengeluarkan data-data ini bersama dengan Jabatan Statistik Negara,” katanya dalam rakaman video mengenai dakwaan itu, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, Anwar tidak konsisten dengan pendiriannya berhubung hutang negara.

Rosol berkata, ketika menjadi pembangkang Anwar lantang mengkritik kerajaan apabila hutang negara meningkat, namun beliau sendiri turut melakukan tindakan yang pernah dibantahnya apabila menambahkan jumlah hutang tersebut selepas menerajui kerajaan.

“Dahulu beliau kritik kerajaan, kata kerajaan tak pandai urus negara apabila hutang meningkat berbilion-bilion. Itu masa beliau jadi pembangkang.

“Masa beliau memerintah pula, beliau kata kerajaan terpaksa meminjam untuk bayar hutang, buat pembangunan dan sebagainya. Jadi maknanya beliau cakap tak serupa bikin,” katanya seperti dipetik media.

Dalam pada itu, Anwar berkata, adalah menjadi komitmen kerajaan untuk mengurangkan hutang negara yang diwarisi pada pentadbiran sebelum ini sebanyak RM1.5 trilion.

Jelasnya lagi, antara langkah untuk mengurangkan kadar hutang negara adalah dengan menurunkan kadar itu kepada RM93 bilion daripada RM100 bilion sebelum itu.

“Bagi tahun 2024, RM86 bilion maka kira kurangkan hutang tetapi mengapa tidak boleh terus batalkan semua hutang negara? Ia akan menjejaskan projek-projek bantu rakyat, pembinaan sekolah baharu, ataupun universiti dan pembangunan.

“Ini termasuk tanggungan kita membayar hutang-hutang lama kerana ia tinggi dimana 64 peratus daripada KDNK,” katanya.

Anwar pada Isnin berkata, negara terpaksa meminjam wang setiap tahun untuk membayar hutang sebelum ini termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad selain untuk prasarana.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata hutang kerajaan persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette