Hassan berbincang dan mendengar masalah penduduk semasa melawat Kondominium Midas Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG -Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abul Karim mencadangkan supaya Akta Anti Lompat Parti dipinda supaya lebih jelas dan berkesan sekali gus menutup kelompongan dalam akta berkenaan.

Jelas beliau, langkah tersebut amat wajar terutama bagi mana-mana ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap blok berlawanan dalam sidang Dewan Rakyat meskipun tidak keluar parti.

“Cadangan untuk meminda Akta Anti Lompat Parti perlu bagi menjelaskan dengan lebih jelas dan menghapuskan sebarang kekaburan.

“Saya mencadangkan Perkara 49A(1)(a)(ii) dipinda supaya lebih jelas berbanding yang sedia ada sekarang yang memperuntukkan (ii) dia tidak lagi menjadi ahli parti politik.

“Perkataan berhenti mesti dihuraikan lebih lanjut untuk menghapuskan sebarang bentuk ketidakpastian,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dan mendengar masalah penduduk Kondominium Midas Seri Alam di sini hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan sedia berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.

Menurut Anwar, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Pada 20 Jun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.

Keputusan itu bagaimanapun menggemparkan perkembangan politik negara dan mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Mengenai masalah pembeli di kondomonium itu, Hassan berkata, terdapat 1,609 pembeli dan ramai telah mendapat kunci pada Mei lalu tetapi sehingga kini masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

Jelasnya, penduduk kondominium berkenaan terpaksa menumpang mandi dan mengambil air di stesen minyak berdekatan, selain menyuarakan masalah seperti kediaman tersebut tidak sempurna seperti bocor dan basah dalam rumah.

Hassan hairan mengapa pihak pemaju menyerahkan kunci kepada penduduk dan kondominium berkenaan mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) sedangkan kemudahan asas masih tidak ada selain mempunyai masalah lain.

“Apabila dipanggil bersemuka dengan pembeli pada hari ini, pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghantar wakil. Saya cadangkan selepas ini pembeli berurusan dengan pejabat pemaju yang ada di sini. Pemaju boleh bawa peguam dan kontraktor dia. Saya akan menjadi orang tengah,” katanya.- MalaysiaGazette