Tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya, April lalu.

MELAKA – Seorang ustaz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang dan memegang punggung seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah madrasah di Jalan Puncak 2, Taman Puncak Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi 21 April 2024.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang merupakan guru mengaji mangsa namun mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam Mohamed Musthafa bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya berasal daripada keluarga susah, mempunyai lapan beradik dan perlu menanggung ibu bapa serta dua adik yang masih bersekolah.

Tertuduh juga hanya berkelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), mempunyai isteri dan seorang anak berusia dua tahun dan sijil khatam hafazan al-Quran dengan gaji bulanan RM3,000 sebagai tenaga pengajar sambilan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 30 Ogos ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette