Rafi Awang Kechik

KUALA LUMPUR – Biarpun banyak parti politik ditubuhkan dengan gerak kerja dan struktur yang diambil dari acuan UMNO, namun tidak ada satu pun boleh menyaingi parti terkuat orang Melayu itu.

Namun, menurut Presiden Nadi Rakyat, Rafi Awang Kechik, kepimpinan UMNO tidak boleh selesa kerana ujian demi ujian datang bertubi-tubi daripada musuh parti yang mahu melihat organisasi terbesar Melayu itu hancur.

Kata beliau, jika 71 tahun UMNO berjuang demi alif ba ta, dalam tempoh itu juga pelbagai himpunan fitnah dan rekayasa dilemparkan musuh politik untuk mematikan perjuangan parti.

“Jalur sejarah bermulanya tidak mudah. Jika seusai usianya ini sudah 71 tahun dijulang cerita kejayaan, 71 tahun jugalah himpunan fitnah dan rekayasa untuk mematikan perjuangan ini dengan pelbagai “sabda dan fatwa” dari serumpun, sebangsa dan seagama.

“Apatah lagi dari yang terlalu takut dengan gema laungan syahadah dan kelompok berkulit sawo matang dapat mewarisi kepimpinan negara serta mempertahankan Keluhuran Perrlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Rafi yang juga aktivis UMNO, apabila perjuangan UMNO hampir mencapai satu abad, tidak ada kata-kata yang lain yang diungkapkan orang Melayu melainkan lafaz kesyukuran kepada Allah yang memberikan nikmat kedaulatan, keamanan serta kestabilan kepada Malaysia.

“Sehingga sekali lagi kita dapat menyambut hari ulangtahun UMNO ke-71 dalam keadaan parti ini masih lagi menjadi tunjang kepada kerajaan yang mentadbir dan mengurus negara,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada barisan kepimpinan UMNO semua peringkat, dalam kebijaksanaan menakhoda kapal, galaslah amanah dengan jujur dan bertanggungjawab untuk orang Melayu mewarisi parti ini kepada anak cucu dalam keadaan ianya masih berkuasa.

“Kepada pengikut, kesetiaan semua ditagih untuk memastikan UMNO tetap utuh, kuat dan terus diterima sebagai wadah kepada perjuangan untuk masa depan anak cucu.

“Janganlah setelah kita mampu merasai pelbagai nikmat hasil perjuangan nenek moyang, kita pula sanggup bertindak menyebabkan anak cucu kehilangan nikmat itu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette