Dr. Halimah Ali
Dr. Halimah Ali

PETALING JAYA – Politik tidak semestinya dibawa dengan cara kotor, menerusi kutuk-mengutuk dan cubaan menjatuhkan sesama sendiri, kata calon Pas untuk DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali.

Beliau berkata, perkara itu yang akan cuba disampaikan dan diterjemahkannya kepada pengundi-pengundi kawasan tersebut.

“Nak membawa satu politik matang dan sejahtera bukan setakat menjatuhkan orang, kritik, kutuk orang itu bukan Pas.

“Apa yang saya cuba bawa adalah politik boleh datang dari cara bersih.

“Itu yang saya nak terjemahkan supaya orang faham, ‘okay’ untuk ada politik bersih,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau terdahulu ditemui ketika melawat proses penyembelihan sempena Hari Raya AidilAdha hari ini di Masjid Ara Damansara sebentar tadi.

Halimah yang bertanding menentang calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar menambah, strategi yang digunakannya adalah dengan menerangkan kepada pengundi bagaimana Pas menangkis dakwaan terhadap parti itu  sebelum ini.

“Mereka mungkin dengar daripada orang-orang lain, daripada kawan ke, propaganda ke. Yang saya cuba saya dekati sendiri,” katanya lagi.

Hari ini masuk hari kelima berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia selepas penamaan calon diadakan pada 18 Ogos yang lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 21 hari untuk PRK DUN Seri Setia. -MalaysiaGazette