Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan pelajar ketika hadir pada Premier Lecture Japan Day and Official Launching of Residensi UTMKL di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya tersenyum dan berlalu meninggalkan petugas media apabila diajukan dakwaan ahli Parlimen UMNO dibeli RM20 juta.

Persoalan itu masih belum terjawab susulan tindakan dua ahli Parlimen daripada UMNO, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar parti pada Selasa lalu dan semalam.

Dakwaan itu timbul selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendedahkan Mahathir menjadi dalang di sebalik pengunduran dua pemimpin veteran UMNO itu.

Jamal mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah menghantar wakilnya untuk membeli ahli-ahli Parlimen daripada UMNO agar keluar parti.

Dakwa Jamal, langkah itu bagi mengukuhkan kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH).

Ia berikutan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu, baru-baru ini.

Tindakan itu juga didakwa bagi menghalang Ketua Umum PKR itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Jamal turut mendakwa usaha membeli wakil rakyat itu bertujuan menghalang pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu melalui gabungan ahli Parlimen UMNO, Pas dan PKR. – MalaysiaGazette