Jamal Md yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hadir untuk mendengar tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pengalaman yang dilalui hampir sebulan ketika berada di Penjara Sungai Buloh akan dijadikan modal oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membantu calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson.

Jamal berkata, beliau tidak peduli terhadap dakwaan pernah dikaitkan dengan Anwar sebelum ini kerana melihat Ketua Umum PKR itu sebagai seorang yang berjiwa besar dan kental serta tabah dalam rintangan yang dihadapi suatu masa dahulu.

“Saya sempat melihat sel kurungan beliau ketika 27 hari berada di situ (Penjara Sungai Buloh).

“Beliau (Anwar) bertahun-tahun duduk di situ dan dia cukup tabah. Jadi saya yakin orang yang sebegini mampu menjadi seorang pemimpin yang baik jika beliau bertanding,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau mempunyai caranya yang tersendiri untuk membantu Anwar berkempen pada pilihan raya berkenaan.

Katanya, beliau tidak mungkin akan berada sepentas dengan Anwar pada siri-siri ceramah yang diadakan sebaliknya, cuba menyampaikan mesej kepada pengundi di Port Dickson bahawa calon PH itu seorang yang mempunyai jiwa sangat besar.

“Beliau telah diberikan pengampunan oleh Yang Dipertuan Agong. Kalau betul dia buat (liwat) itu antara dia dengan Allah.

“Saya harap selepas itu bolehlah berlaku peralihan kuasa seperti yang dijanjikan daripada Tun Mahathir kepada Anwar bukan daripada Tun Mahathir kepada Mukhriz Mahathir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jamal berkata sehingga kini beliau masih lagi menunggu jawapan daripada pejabat Peguam Negara berhubung rayuan terhadap pertuduhan kes-kesnya yang telah disebut di mahkamah.

Katanya, sebagai seorang rakyat Malaysia beliau berhak memohon untuk merayu agar kes-kes yang disabitkan ke atasnya mendapat pembelaan.

“Sebagaimana sedia maklum bukannya kes-kes itu saya ambil rasuah seperti penjawat awam dan sebagainya tetapi, ia hanya kes saya sebagai pemimpin pembangkang di negeri Selangor dan badan NGO yang melontarkan ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara,” ujarnya.

Tambah beliau, selepas BN tumbang pada PRU14 lalu, beliau telah dimaklumkan bahawa terdapat 25 kes lagi yang disabitkan keatasnya sedang menanti untuk dibuka meskipun kes-kes itu telah ditutup sebelum ini.

Katanya, beliau berharap kes-kes tersebut dapat digugurkan agar kebebasan bersuara dan berpolitik sebagaimana yang diuar-uarkan oleh kerajaan baharu ini dapat diterjemahkan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan