Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencadangkan agar proses pemilihan ditangguhkan sebulan bagi tujuan menambahbaik sistem e-voting yang julung kali digunakan parti itu namun menimbulkan masalah baru-baru ini.

Jelasnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian dan dipertimbangkan adalah kehadiran pakar-pakar IT untuk alat yang digunakan bagi membuat pengundian bagi mengatasi masalah teknikal dapat diselesaikan semasa proses pemilihan berlangsung.

Kata Zuraida, perkara itu akan disuarakannya pada Mesyuarat Biro Politik malam ini.

“Malam ini ada mesyuarat Biro Politik, saya akan minta agar e-voting ini diperkemaskan dengan mengadakan ramai lagi pakar-pakar IT yang patut ditempatkan di stesen sepatutnya (ditempat sewajarnya), yang boleh mengendalikan tab itu sekiranya ada masalah, hang tidak boleh berfungsi, tidak ada baterilah.

“Sepatutnya ada pakar-pakar untuk menguruskan perkara-perkara teknikal pegawai biasa tidak tahu macam mana nak menguruskannya.

“Jadi saya minta kalau perlukan sebulan untuk parti tangguh, perkemaskan proses kepakaran dan kebolehan untuk mengurus kita patut teruskan,” katanya kepada media ketika ditemui semasa Lawatan Turun Padang Isu Kilang Plastik di Teluk Panglima Garang hari ini.

Jika tempoh sebulan masalah yang dihadapi berpunca daripada ketidakcekapan sistem e-voting gagal diselesaikan maka Zuraida menggesa agar PKR kembali menggunakan sistem manual pada proses pemilihan parti itu.

“Kalau tak mampu untuk menguruskan dalam masa sebulan balik kepada sistem manual,” ujar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

Pada Sabtu yang lalu berlaku kekecohan yang berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang.

Ia berpunca daripada masalah sistem e-voting menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain.

Pada masa yang sama keputusan pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh baharu.

Rentetan kekecohan itu polis turut menahan reman 13 lelaki selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok. – MalaysiaGazette