Ir Suharto Mat Nasir
Ir Suharto Mat Nasir

KUALA LUMPUR – Hari ini bermulanya proses pemilihan PKR bagi penggal 2018-2021 melibatkan pertandingan dan perebutan jawatan ketua di 14 cabang di Kelantan.

Pemilihan yang bermula dua minggu lalu dengan Kedah dan Pulau Pinang mendahului siri pengundian, telah mula memasuki zon Pantai Timur bagi memilih jawatan kedua utama parti, iaitu Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, selain Ketua Cabang masing-masing.

Di Kelantan juga turut menyaksikan saingan sengit antara penyandang dengan pencabar, dan Cabang Rantau Panjang dijangka menjadi tumpuan pemerhati dalam pemilihan penggal ini.

Calon popular bagi pemilihan Ketua Keadilan Cabang Rantau Panjang ialah Ir Suharto Mat Nasir iaitu aktivis politik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Kelantan di sekitar awal 90-an.

Dengan slogan kempen “Ore Mudoh Ba’so..Sene Kecek Kiro”, anak muda kelahiran Kampung Slow Machang, Pasir Mas ini dijangka mendapat tempat dalam kalangan pengundi.

Walaupun agak mencabar untuk layak bertanding, beliau berjaya berdepan dengan rintangan dari kalangan pencabarnya dan hari ini nama Ir Suharto tercetak sebagai calon nombor dua di kertas undi.

Ir Suharto adalah bekas pemimpin UMNO di awal tahun 1990-an, sebelum berhijrah menyertai PKR sebagai wadah perjuangan membela nasib rakyat di Cabang Rantau Panjang dan Kelantan amnya.

Beliau yang menamatkan pengajian di Polytechnic New York, Amerika Syarikat dan pemegang Ijazah Kejuruteraan Awam sememangnya seorang calon yang cukup berkelayakan untuk diangkat sebagai pemimpin.

Beliau juga seorang yang mempunyai ketokohan dan berinovasi, selain visi dan misi utamanya ialah untuk menbawa perubahan dalam kehidupan masyarakat Rantau Panjang. – MalaysiaGazette