Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Tugas meneliti aduan cabang-cabang mengenai status bantahan keanggotaan baharu adalah di bawah jawatankuasa yang diketuai penyandang jawatan Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar. 

Justeru, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan PKR Sarawak yang mendakwannya gagal menjalankan tanggungjawab tidak tepat. 

“Kemudian bantahan akan dikemukakan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Xavier Jayakumar yang telah ditugaskan oleh biro politik.

“Tujuannya apa? Tujuannya untuk meneliti aduan dari cabang-cabang mengenai status bantahan keanggotaan baru, kalau ada.

“Jadi, sehingga tarikh tutup memuktamadkan permohonan keanggotaan baru setelah mengambil kira bantahan itulah nama yang dikeluarkan.

“Jadi, soal PKR Sarawak mengatakan dia telah menulis kepada saya betullah, semua sampai ke pejabat dan ia ditugaskan kepada Dr Xavier untuk bertindak, ia bukan di bawah saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, menerusi kenyataan media PKR Sarawak mendakwa Saifuddin  gagal menjalankan tugasnya apabila tidak menyelesaikan isu bantahan keanggotaan PKR Cabang Julau sebelum ini.

Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata, terdapat dua bantahan yang dikemukakan semasa tempoh bantahan, iaitu daripada Ketua Bahagian Julau PKR, Semana Sawang pada 8 Ogos dan olehnya pada 10 September lalu yang dianggapnya tidak diambil serius oleh Setiausaha Agung PKR itu walaupun bukti kukuh telah dilampirkan. 

Saifuddin juga menjelaskan, beliau tidak berkecil hati dengan tindakan PKR Sarawak itu dalam masa yang sama berkata, semua aduan kini pasti sedang dalam proses semakan oleh jawatankuasa di bawah Xavier.

“Proses itu telah berjalan dan segala bantahan telah disemak oleh jawatankuasa yang terlibat dan saya tak terlibat dengan jawatankuasa itu.

“Saya tak kecil hati dengan PKR Sarawak, mungkin mereka tidak dapat maklumat itu, saya okey saja,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan