Kelihatan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berdiri dihadapan sebuah kedai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Bajet 2019 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

Mulai Januari 2019 isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000 dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750.

Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500, kata Lim Guan Eng.

Selain itu, Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai 4 orang anak, maka jumlah BSH yang akan diterima adalah sebanyak RM1,480.

Ini adalah lebih banyak daripada jumlah BR1M sedia ada sebanyak RM1,200.

Oleh itu, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan
peruntukan RM5 bilion.

Untuk golongan suri rumah di bawah program eKasih, kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI dengan peruntukan sebanyak RM45 juta.

Melalui skim ini, kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan