Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mewujudkan rangka kerja  untuk mengawal selia pertukaran aset digital dan penawaran syiling permulaan (ICOs) untuk memudahkan pembangunan yang adil dan teratur bagi pasaran baharu itu.

Peraturan-peraturan ini dijangka berkuatkuasa pada suku pertama 2019.

Dana Bersama Pelaburan (CIF) dengan geran sebanyak RM50 juta akan diwujudkan bagi membolehkan kerajaan melabur dengan pelabur swasta dalam membiayai pembangunan perniagaan baru, terutamanya untuk segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) segmen, melalui dana masyarakat berdasarkan ekuiti atau ekuity crowdfunding (ECF) dan platform pembiayaan rakan setara (P2P).

Pengenalan platform crowdfunding harta, yang akan dikawalselia oleh SC di bawah kerangka crowdfunding, bakal menyediakan pilihan pembiayaan alternatif kepada pembeli rumah pertama dan memberikan pendedahan kepada sektor hartanah melalui jumlah pelaburan yang lebih kecil.

SC berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada satu siri langkah Belanjawan  2019 untuk memudahkan pemilikan rumah.

“SC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengendalikan langkah-langkah ini. Butiran lanjut tentang langkah-langkah ini akan diumumkan pada masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang diketuai oleh Kementerian Kewangan yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, SC berkata, bersama dengan lanjutan insentif cukai untuk sukuk ijarah dan wakalah, ia akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.

Di samping itu, lanjutan insentif untuk sukuk runcit dan bon pula akan menggalakkan lebih banyak terbitan instrumen sedemikian dan menarik penyertaan runcit yang lebih besar dalam pasaran modal. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan