Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2018, Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail (kanan) bersama isterinya, Datin Paduka Che Asmah Che Hamat menunjukkan trofi dan sijil pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Qari dan Qariah Kelantan, Hakim Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sejak 1993, Datuk Nik Jaafar Nik Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M hari ini.

Tokoh agama dan guru Al-Quran itu menerima wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau yang ditemubual media melahirkan rasa terkejut dan mengganggap anugerah itu sebagai penghormatan tertinggi keatas segala jasa dan pandangannya dalam bidang agama serta bacaan al-Quran.

“Tidak terkata, maknanya dalam hati saya ni banyak sangat perasaan bila menerima anugerah ini. Saya akan teruskan menabur bakti kepada masyarakat terutamanya ketika saya masih bertenaga.

“Cabaran dalam mengajar al-Quran ini banyak, contohnya dalam sebutan kerana orang Melayu ada ‘bengkang bengkok’ jadi sebutannya kena betul,” katanya selepas menerima anugerah itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

MGF20112018_MAULIDUR RASUL17
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2018 kepada, Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail (tiga kanan) sambil diperhatikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kiri) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2018

Sementara itu, selain Nik Jaafar, empat individu lain turut diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Mereka ialah pakar rujuk ibadah haji, Dr. Anisah Ab Ghani, Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan) Jabatan Ukur dan Pemetaan, Dr. Azhari Mohamed, aktivis Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yaakob Lazim dan ahli perniagaan, Datuk Abd. Rahman Ibrahim.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM20,000 beserta trofi dan sijil penghargaan. -MalaysiaGazette