Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media pada Majlis Perasmian MAHA 2018 di Dewan D, MAEPS Sedang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 NOVEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media pada Majlis Perasmian MAHA 2018 di Dewan D, MAEPS Sedang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 NOVEMBER 2018

SERDANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan pendedahannya berhubung cubaan UMNO dan Pas untuk menarik Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Melayu-Islam selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Dr Mahathir berkata, menmng terdapat percubaan itu kerana ia dilihat punca kepada kelewatan pengumuman kemenangan PH pada malam 9 Mei lalu.

“Malam itu lambat pengiktirafan PH menang, sepatutnya pukul 8.30 malam menang tapi tiada pengumuman kerana pihak pemimpin UMNO bercadang join sama Pas dan tarik beberapa Ahli Parlimen Melayu daripada PKR dan Pribumi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“(Ia) supaya cukup bilangan untuk mereka menubuh kerajaan tetapi rancangan itu tak berjaya kerana mereka tidak dapat umpan orang daripada PH.

“Tak cukup nak tubuh kerajaan dengan itu terpaksalah mereka iktiraf bahawa PH menang (PRU-14),” katanya pada sidang media selepas perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sekalipun perkara itu dinafikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Awal hari ini, Najib menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian berkata beberapa pemimpin utama datang menemuinya pada malam 9 Mei lalu, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun ia langsung tidak menyentuh usaha untuk menarik Ahli Parlimen PH.

“Saya pun tidak tahu dari mana datangnya berita (menarik Ahli Parlimen PH). Saya juga hendak ulang balik bahawa bukan termasuk dalam perancangan saya supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan darurat…itu tuduhan tidak benar,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad, dalam temubual bersama majalah Mekong Review sebelum ini mendedahkan ada cubaan “di sebalik tirai” beberapa jam sebelum keputusan rasmi PRU-14 diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan “masalah dari dalam” pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Semalam, beberapa pemimpin dalam PH berkata mereka tidak tahu malah tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan Perdana Menteri itu.

Antaranya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub pula
tidak menafikan dakwaan itu.

Beliau dalam pada itu berkata, Amanah tidak menerima sebarang pelawaan daripada UMNO dan PAS untuk kerjasama itu. -MalaysiaGazette

Tiada arahan pancing ahli Parlimen PH – Najib