Pakar perubatan, Dr. Mohamad Hussaini Razali bercakap pada Wacana Memulihara Kehebatan Kelakian dari Perspektif Etno-Sains Perubatan Melayu di Bilik Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2018

BANGI – Kesan amalan ilmu sihir terhadap pasangan yang mendirikan rumah tangga amat tinggi sehingga boleh menyebabkan suami mati pucuk.

Demikian pendedahan seorang pengamal perubatan komplementari Islam, Dr Mohamad Husaini Razali mengenai pemulihan kesihatan lelaki.

Berdasarkan amalannya sebagai ahli perubatan, isu penggunaan ilmu sihir bagi mematikan alat sulit lelaki sering kali timbul dan terlalu ramai yang sudah mendapatkan rawatan tersebut.

Ujar beliau, penggunaan ilmu sihir terhadap pasangan yang berkahwin bertujuan memisahkan pasangan tersebut daripada perkahwinan mereka.

“Ada seorang lelaki buta selepas perkahwinan ketiga datang ke klinik saya. Sebelum itu dia berubat selamat 10 tahun termasuk di China dan India semata-mata nak sembuhkan mata dia.

“Dia yakin itu sihir sebab tidak ada sakit apa-apa. Bila dia datang untuk pemeriksaan, saya dapati dia ada gangguan mati pucuk menyukarkan hubungan seksual. Dia pula mengaku sebab lepas kahwin, dia tidak dapat menikmati hubungan seks.

“Saya rawat dan selepas setengah jam, sakit di bahagian alat sulit hilang. Sehari selepas itu dia jumpa saya, kata masalah mati pucuk beliau sudah sembuh,” katanya dalam wacana bertajuk “Memulihara kehebatan kelakian dari perspektif Etno-Sains perubatan Melayu” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut pengamal am di Pusat Ruqyah Hijrah yang bertempat di Seremban ini, ada pasangan berusia lewat 50-an juga menjadi mangsa akibat perbuatan keji ini.

Tambahnya, penggunaan ilmu sihir terhadap pasangan berkahwin membawa impak yang besar kepada alam perkahwinan dan perkara ini boleh disembuhkan dengan menggunakan perubatan komplementari ini.

“Ada pesakit yang berumur 60 tahun datang jumpa saya. Dia kata setiap kali nak bersama isterinya, alat sulit itu tidak berfungsi langsung.

“Kita periksa memang mangsa terkena perbuatan sihir malah isteri beliau pun terlibat sama. Macam ada usaha untuk putuskan perkahwinan mereka,” katanya lagi. -MalaysiaGazette