Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman UMNO yang semakin meruncing akhir-akhir ini menyedihkan parti komponen lain yang turut sama bernaung di bawah panji Barisan Nasional (BN).

Gejolak parti keramat kaum Melayu negara itu dilihat begitu hebat sehingga membawa kepada beberapa insiden yang mengejutkan semua ahli termasuk di peringkat akar umbi.

Bermula dengan kekalahan mengejut pada pilihan raya umum Mei lalu, UMNO yang mendominasi BN sebagai tonggak utama seakan dibelit rantaian masalah tidak berpenghujung, hingga membawa kepada beberapa keputusan drastik, antaranya peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti dan BN.

Ibarat mencubit paha kanan paha kiri turut terasa sakit, nasib malang UMNO turut memberi kesan yang bukan sedikit kepada parti komponen lain di bawah BN, khususnya MIC.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, nasib menimpa UMNO ketika ini seolah-olah memberi petanda bahawa parti berkenaan perlu melalui satu pembaharuan total dengan memberi keutamaan kepada ahli yang benar-benar setia menggalas wadah perjuangan.

Menurut beliau, dugaan melanda komponen terbesar BN itu ketika ini perlu dilihat sebagai satu medan pembersihan parti dari ahli yang tidak setia.

“Saya tidak mahu mengulas insiden Ahli Parlimen UMNO keluar parti atau berpaling tadah kepada pihak lain. Itu adalah hal domestik UMNO yang tidak seharusnya dicampuri parti lain walaupun pada hakikatnya MIC juga bernaung di bawah panji BN.

“MIC dalam hal ini mengambil pendirian menghormati sebarang keputusan diambil UMNO dan berharap semua perubahan yang berlaku itu memberi hikmah kepada parti secara keseluruhan,”

“Pada pandangan peribadi, hakikatnya betul atau tidak, bermoral atau tidak tindakan lompat parti ini hanya persepsi rakyat dan masa akan tentukan kemelut ini,” katanya.

Menurut Vigneswaran, ahli UMNO seharusnya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan terburu-buru, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk diselesaikan secara kolektif bersama barisan kepimpinan sedia ada.

“Apa pun keputusan dibuat, MIC akan berdiri teguh bersama UMNO dan mempertahankan payung Barisan Nasional selagi hayat dikandung badan.

“Kesetiaan dan ketaatan kami adalah untuk BN UMNO yang sekian lama telah membawa banyak perubahan serta kejayaan untuk Malaysia, katanya.

Ditanya apakah MIC tidak bimbang akan terpalit dengan stigma negatif yang menyelubungi UMNO ketika ini, presiden kesepuluh parti terbesar masyarakat India negara ini dengan tegas menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya berkata, kesetiaan MIC bersama UMNO sudah lama terbukti terbina sejak 60 tahun lepas.

“Setiakawan MIC dan UMNO bukan satu perkara baharu. Ia sudah terbina sebelum kemerdekaan negara dicapai lagi. Kami melalui setiap susah senang bersama dan tidak akan semudah itu untuk MIC berpaling tadah.

“Jika ada yang mahu bergerak sendiri tanpa BN, itu adalah pilihan masing-masing tapi untuk MIC, ada atau tidak, kami kekal setia dengan UMNO.

“Saya beri contoh, sekiranya ibu bapa atau keluarga kita meninggal dunia, adakah kita terus ‘buntu’ sepanjang hayat atau mencekalkan hati dan meneruskan kehidupan demi survival juga untuk orang tersayang?

“Ini juga begitu, apa yang kecoh sangat jika kini kita tidak lagi berkuasa setelah sekian lama berkuasa? Sabarlah dan kita bangkit balik dengan lebih kuat. Ini baru permulaan,” tegasnya.

Dua hari lalu UMNO Sabah lumpuh sepenuhnya apabila pengerusi parti negeri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua bahagian bertindak keluar parti dan memutuskan bergerak sebagai wakil bebas.

Tindakan membabitkan sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian itu didakwa sebagai keputusan bersama atas alasan tiada arah politik yang jelas ditentukan oleh barisan kepimpinan sedia ada. -MalaysiaGazette