Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini bangkit memperjelaskan mengenai pertemuan enam mata bersama beliau, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan Nurul Izzah Anwar semalam.

Menurut beliau, tidak ada langsung perbincangan mengenai menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda sebagaimana yang dilaporkan Berita Harian Online hari ini.

“Langsung tak bincang lompat ka, buat parti ka. KJ ajar saya mcm mana nak pakai filter Instagram. Izzah bg tips sekolah anak. Saya bg tips mcm mana nak gemuk,” katanya ringkas di Twitter.

Dalam laporan eksklusif semalam, akhbar berkenaan melaporkan bahawa gandingan tiga pemimpin muda itu adalah bagi menubuhkan sebuah parti baharu.

WhatsApp Image 2018-12-19 at 1.17.19 PM

Andaian itu selepas ketiga-tiga mereka dilihat semakin akrab berkongsi pandangan menerusi pertemuan, serta komen balas sesama mereka di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.

Ia sejurus kejadian Nurul Izzah membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan Naib Presiden PKR pada Isnin lalu.

Anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertindak meletakkan jawatan selaku Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang berkemungkinan kekecewaannya terhadap hala tuju parti dan senario politik dalaman.

Malah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Semalam, Nurul Izzah dilihat tiba dulu di Restoran Alexis di Bangsar Shopping Centre (BSC) kira-kira jam 12 tengahari diikuti Rafizi. Tidak lama kemudian, Khairy muncul dan mereka dilihat memesan minuman.

Sehingga jam 1.30 tengahari mereka dilihat hanya minum, tetapi tidak pasti sama ada mereka makan tengah hari bersama. -MalaysiaGazette