Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak melepaskan peluang berswafoto bersama penyanyi, Maher Zain pada Sidang Media Maher Zain Tour Malaysia 2019 di NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Maher Zain mengakui jelajah konsertnya di empat negeri yang bermula 9 Mac ini tidak mampu memenuhi permintaan lebih empat juta peminatnya di Malaysia.

Penyanyi nasyid antarabangsa itu bagaimanapun berkata, konsert kemunculannya itu hanya satu permulaan di empat negeri dan beliau tidak menolak untuk menjelajah ke semua negeri di Malaysia pada masa akan datang.

“Sudah tentu tidak (berpuas hati) kalau boleh kita nak buat konsert di 14 negeri (Malaysia) Insya-Allah.

“Tapi jelajah ini hanya permulaan dan saya harap selepas itu konsert ini dapat diteruskan di negeri lain,” katanya pada sidang media selepas pelancaran konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di NU Sentral, di sini, hari ini.

 

MGF09012019_SIDANG MEDIA MAHER ZAIN13
Penyanyi, Maher Zain bercakap kepada media pada Sidang Media Maher Zain Tour Malaysia 2019 di NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2019

Konsert kemunculan semula Maher Zain ke Malaysia bakal bermula pada 9 Mac ini di Axiata Arena di Kuala Lumpur, sebelum diteruskan ke Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah, sepanjang bulan itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Insya-Allah’ dan ‘For The Rest Of My Life’ itu juga berkata, beliau tidak menjanjikan apa-apa kejutan dalam konsertnya kali ini namun ia akan menjadi satu persembahan yang sukar dilupakan.

“Saya akan mulakan dengan lagu Insya-Allah, anda boleh dapati dalam konsert saya nanti dan saya boleh beri jaminan akan menjadi konsert yang sukar dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif & CEO New Catalysts Resources (M) Sdn Bhd, Datuk Dr Rais HUssin Mohamed Ariff pula menggesa semua peminat Maher Zain mendapatkan tiket konsert sempena jelajah empat negeri ini.

“Saya setuju empat negeri, empat lokasi berbanding 4 juta peminat dan sukar untuk penuhi permintaan semua orang.

“Mesej saya jelas, dapatkan tiket anda sekarang,” katanya.

Konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 akan menemui peminatnya di Malaysia di empat negeri dan empat lokasi utama sepanjang bulan ini.

Antaranya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Mac; Stadium Pasir Gudang, Johor Bharu (15 Mac); Spice Arena, Pulau Pinang (16 Mac) dan Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu (17 Mac).

Kali terakhir Maher Zain membuat persembahan di Malaysia ialah pada lima tahun lalu di Dataran Putrajaya.

Ketika ditanya tentang album terbarunya, beliau berkata single berjudul Huwa Al-Quran telah disiapkan tujuh bulan lalu dan ia bakal di lancar dalam masa terdekat.

“Album seterusnya dalam pembikinan dan diharapkan tahun depan dapat dilancarkan sebab kita dahulukan beberapa single terbaru tahun ini.

“Malah single tahun ini juga akan dimasukkan dalam album terbaru tahun depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan