Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius dakwaan seorang penyelidik politik warga Perancis yang menjadi mangsa buli dan diugut para pegawai jabatan itu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dari segenap aspek bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi agar keselamatan sempadan negara tidak tergugat.

“Subjek tiba di klia2 dan hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen. Semakan awal di kaunter mendapati nama subjek termasuk dalam Senarai Syak (SL).

“Pegawai imigresen telah mengikut SOP dan membawa subjek ke Pejabat Operasi JIM untuk membuat semakan lanjut.

“Semakan lanjut mendapat nama subjek disenaraikan dalam SL oleh sebuah agensi penguatkuasa.

“Pegawai Imigresen yang bertugas telah menghubungi wakil dari agensi penguatkuasaan berikut untuk tindakan selanjutnya dan cuba untuk memberikan penerangan situasi sebenar kepada subjek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurul Khairul Dzaimee lagi, wanita itu mendakwa telah berlaku salah faham antara dirinya dan beberapa pegawai imigresen mengikut jurang masa dia mula dibawa ke pejabat operasi hingga dibenarkan memasuki negara ini.

Tambah beliau, pihaknya difahamkan bahawa wanita itu dan pegawai imigresen terbabit masing-masing telah membuat laporan polis dan telah memberikan segala butiran kejadian.

“JIM akan memberikan kerjasama dengan telus dan sepenuhnya kepada pihak PDRM. Dalam pada masa yang sama JIM akan menjalankan siasatan dalaman terhadap insiden ini.

“Sebagai Ketua Pengarah Imigresen, saya akan memastikan JIM sentiasa profesional dalam menjalankan tugas dan pada masa yang sama tidak akan berkompromi dengan apa jua unsur yang boleh menggugat keselamatan sempadan negara,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan kejadian yang berlaku ke atas Lemeire ketika dia sampai ke negara ini menerusi KLIA2 dari Singapura.

Lemeire hadir ke Malaysia bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan atas undangan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong.

Lemiere merupakan pakar kajian Malaysia di Ash Center for Democratic Governance and Innovation dari Universiti Harvard.

Insiden yang terjadi ke atas Lemeire mendapat perhatian peguam N. Surendran dan Latheefa Koya. – MalaysiaGazette