Kongsi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Tiada halangan untuk PAS menganjurkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 18 Feb depan asalkan mengikut peraturan ditetapkan dan mendapat kebenaran pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan atau demonstrasi bagi menyokong atau membantah sesuatu perkara atau isu asalkan mematuhi akta dan peraturan berkaitan.

“Pada saya mereka berhak untuk berbuat demikian… asalkan mengikut syarat dan mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persembahan Gendang 24 Perayaan Terbesar di Dunia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Tsun Jin di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Feb bagi memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Platform itu akan digunakan untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.

Sementara itu, Persembahan Gendang 24 Perayaan Terbesar di Dunia itu yang disertai 388 peserta dari pelbagai bangsa dan peringkat umur turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Persembahan gendang tersebut kini tidak lagi dilihat sebagai hak mutlak dalam kebudayaan kaum Cina, malah kaum Melayu dan India juga dilihat turut menyertai pasukan persembahan tersebut.

Senario tersebut secara tidak langsung menjadi satu perantara dalam usaha memupuk semangat satu Malaysia dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

— BERNAMA

Kongsi

Tinggalkan Jawapan