Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi Pas hari ini menempelak kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa partinya tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin Pas dalam proses untuk menjalinkan hubungan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu tidak pernah sesekali meminta mana-mana pihak mahupun parti politik untuk berbuat demikian semata-mata untuk memastikan Pas kembali ke pangkuan gabungan pembangkang.

“Kita pun tidak minta orang cium kaki kita. Pas tidak pernah minta mana-mana pihak untuk merangkak kepada Pas, bagi kita Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan. Itu ketepatan yang telah dibuat lama oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, parti itu memberi tempoh sebulan kepada Pas untuk membuat keputusan bagi menjalin pakatan pilihan raya.

Malah bekas perdana itu turut berkata, gesaan beliau adalah satu syarat tegas semata-mata untuk melihat pembangkang bergabung dalam misi menjatuhkan Umno Barisan Nasional (BN).

Tempoh sebulan itu berkuatkuasa 11 Februari lalu walaupun PPBM dan Pas masih dalam rundingan di peringkat akhir mengenai kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.

“Soal kerjasama yang diharap oleh Tun Mahathir itu saya kira sudah tidak timbul dan parti sudah buat kenyataan.

“Sudah jelas Pas tidak akan bersama (dengan Pakatan Harapan), “jelas Tuan Ibrahim.

Lebih menyulitkan keadaan apabila  Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan partinya tidak akan bekerjasama dengan PPBM selagi mereka ada pakatan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Dalam pada itu, kedua-dua parti dilaporkan akan memuktamadkan keputusan bersabit kerjasama Jumaat ini.

“Perbincangan dengan PPBM ini kita masih bincang dan akan buat keputusan. Cuma kerjasama dengan PH, tidak ada sebarang keputusan lagi, katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.