KUALA LUMPUR – Selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh wakil DAP, Tan Sri Annuar Musa hari ini menaikkan ganjaran RM10,000 kepada RM50,000 kepada sesiapa
yang boleh membuktikan Lim Kit Siang adalah seorang yang rasis, anti Islam dan diktator.

Selain laporan DAP, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini juga menasihati Ketua Penerangan UMNO itu menggunakan wang tawaran itu untuk membantu pelajar Universiti Kuala Lumpur.

Semalam, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berhasrat mengadakan satu pertandingan di media sosial sehingga penghujung Mei ini.

“Saya bercadang untuk buat satu pertandingan dan boleh menyediakan hadiah kepada sesiapa yang boleh buat IG (Instagram) ataupun penulisan dalam blog ataupun apa-apa bentuk yang bertajuk Lim Kit Siang selalu dikatakan rasis, anti-Islam dan 51 tahun diktator, adakah benar,” katanya dalam satu sidang media khas di Dewan Rakyat semalam.

Kelmarin, Kit Siang yang juga Penasihat DAP menggelar Annuar sebagai bapa rasis ketika ditanya samada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar.

Mengulas lanjut Annuar berkata beliau serius dengan tindakannya itu dalam usaha untuk mengumpul bahan daripada orang ramai berkaitan perkara itu.

“Mungkin orang boleh buat kajian ucapan beliau di Parlimen, dan bahan-bahannya terdapat di merata-rata tempat. Tujuan saya buat buat pertandingan ini untuk dapat bahan daripada orang ramai yang ada kaitannya dengan apa yang saya tuduh kepada beliau,” katanya lagi.

Sebarang penyertaan di media sosial dan blog boleh dihantarkan ke pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra sebelum 30 Mei depan. – MalaysiaGazette