Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAY 2017.

KUALA LUMPUR – Semua pihak mahu melihat Pas jatuh, malangnya dari sehari ke sehari parti itu semakin relevan dan konsisten.

Itu dakwa Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh Pas kini berbaik dengan UMNO selepas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ahli Parlimen Temerloh itu menegaskan, Pas konsisten tidak bersama UMNO, menolak GST dan menentang kenaikan minyak dan gula.

“Tohmahan tersebut jelas tidak benar dan jauh dari realiti. Isu GST, Pas adalah parti yang konsisten menolak perlaksanaannya.

“Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah mengeluarkan sebuah artikel menjelaskan konsistensi pendirian Pas terhadap GST yang bertajuk “Mengapa Pas menentang GST?” pada 9 Januari 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Anwar dari penjara yang dibacakan oleh anaknya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR semasa konvensyen parti berkenaan baru-baru ini.

Nasrudin mendakwa Anwar tidak mendapat maklumat sebenar mengenai pendirian Pas dan hanya bergantung kepada maklumat yang disuap oleh pimpinan PKR semata-mata sehingga menyelewengkan fakta.

“Sebaliknya, persoalan yang sama sepatutnya diajukan kepada Anwar dan PKR, adakah benar mereka menolak secara total perlaksanaan GST?” soalnya.

Menurut Nasrudin, bagaimana pula dengan kenyataan Nurul Izzah yang jelas menyokong dan menyebelahi GST meskipun meletakkan pelbagai syarat dalam perlaksanaannya.

Meletakkan syarat sebelum melaksanakannya bermakna seseorang itu tidak menolak perkara tersebut malah pada Oktober 1992, sewaktu membentang bajet 1993, Anwar turut menegaskan GST perlu dilaksanakan dalam kondisi yang transparent dan efisien, katanya.- MalaysiaGazette