Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membawa mockup Datuk Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengiringinya ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dari Kajang ke Sungai Buloh. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2017.
KAJANG – Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini membawa ‘Datuk Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail’ bersama-samanya menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dari Kajang pergi ke Sungai Buloh.
Lawatan itu merupakan tanda terima kasih kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendekatkan jarak antara Ketua Pembangkang itu dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh.
Jamal bersama pengikut-pengikutnya turut membawa mock-up Wan Azizah yang sebenar sebagai simbolik tanda terima kasihnya kepada pemimpin nombor satu negara itu.
Mock-up Wan Azizah itu tertera mesej kepada Najib iaitu ‘Terima kasih Perdana Menteri menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh’.
Bagaimanapun Jamal tidak berhasrat membawa mock-up Wan Azizah itu ke Penjara Sungai Buloh memandangkan jarak antara stesen MRT Sungai Buloh dengan penjara itu agak jauh.
Ia menjadi salah satu lagi siri sindiran Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu kepada pembangkang terutama kepada Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang.- MalaysiaGazette