Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek

MUAR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menjulang dirinya untuk menjadi “hero” dalam memperjuangkan hak kebebasan bersuara, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Dr Mahathir hanya mencanangkan perkara tersebut selepas beliau tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan.

“Saya nak tanya Tun M, sewaktu dia jadi perdana menteri berapa kali dia berforum secara live (langsung).

“Sebenarnya dari segi kebebasan bersuara untuk membenarkan debat dan sebagainya ia tidak pernah wujud di zaman Tun M.

“Jadi beliau tak perlu nak jadi champion (juara) dalam soal kebebasan bersuara pada waktu ini,” katanya pada sidang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus diberikan peluang untuk melakukan kerja-kerjanya sebagai ketua kerajaan dalam membangunkan negara ini.

Untuk itu katanya, perdana menteri tidak perlu melayan ajakan Tun M yang mahu berforum secara bertentang mata kerana bekas perdana menteri itu juga tidak pernah melayan pembangkang ketika beliau berkuasa.

“Tun M boleh guna pelbagai pentas, tidak ada siapa halang untuk dia bercakap, mengkritik dan sebagainya.

“Dia ada pelbagai alat yang boleh digunakan untuk menyampaikan dan saya rasa Datuk Seri Najib harus diberi ruang untuk melakukan kerja-kerjanya.

“Datuk Seri Najib pun tak perlulah layan pembangkang dalam soal ini,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai hubungan baik antara BN dan Pas di negeri kelahirannya di Terengganu, Ahmad Shabery berkata, parti-parti politik yang kepimpinannya mempunyai majoriti orang Melayu wajar mencari jalan dalam menyatu padukan masyarakat terutama orang Melayu sendiri.

Katanya, perkara itu penting kerana sekiranya mereka berbalah ia hanya akan menguntungkan bangsa lain.

“Kalau Melayu sama Melayu berbalah orang Cina mengharap itu akan menguntungkan mereka.

“Sekiranya berbalah salah seorang akan menjadi ekstrem antara satu sama lain dan kaum lain akan jadi sasaran, tetapi kalau mereka boleh bersama untuk kepentingan bersama, unsur ekstremisme akan dapat dikurangkan,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Shabery berkata, UMNO bukanlah parti yang dilihat sebagai anti Islam.

“Dulu mungkin ada beberapa elemen yang saya ingat ekstrem dalam Pas yang secara retorik menolak UMNO, mengkafir UMNO dan sebahagiannya dah duduk dalam PAN yang banyak maki hamun dah duduk di tempat lain. Pas terdiri dari kelompok yang sederhana dalam hal ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette