Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicabar menyegerakan undian kepada Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen Marang berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, jika undian usul Pas itu dilakukan, mudah pihaknya untuk mengenal pasti ahli Parlimen Islam yang munafik atau bermuka-muka menyokong dasar parti Islam itu namun enggan memberi undi.

Pas juga agak kesal apabila RUU yang dibawa Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersenarai dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang ke-11 dan kedudukan itu menunjukkan kerajaan masih takut untuk membawa usul Islam itu.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan kepada saya kerajaan masih tidak berani nak buat undian itu walaupun ia bacaan itu disegerakan kerajaan sebelum ini.

“Kalau berani buat undian ini dahulu, baru kita boleh tengok berapa ramai ahli Parlimen (Islam) yang menyokongnya, ini untuk kepentingan umat Islam, walaupun ditolak Pas tetap akan bawa usul ini hingga diluluskan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

RUU Persendirian Akta 355 tersenarai dalam aturan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat Parlimen Ke-13 penggal ke-5 berada di kedudukan ke-10 dan ke-11 sejak pembukaannya, semalam.

Pindaan itu menimbulkan bantahan dan menjadi kontroversi apabila ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP didakwa cuba mengelirukan dan menakutkan rakyat bahawa bukan Islam juga bakal terkesan dengan pindaan tersebut.

Antara pindaan tersebut ialah penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali dengan penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali. -MalaysiaGazette.