Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media mengenai kemasukan ahli PPBM ke parti Pekira di Ampang Park hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari seluruh negara akan keluar parti dan menyertai parti baharu Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira).

Perkara itu diberitahu Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah dan menyatakan Ketua Armada di beberapa negeri telah berjumpa dengannya bagi menyatakan hasrat tersebut.

“Mereka memilih untuk menyertai Pekira kerana matlamat parti ini lebih jelas berbanding parti yang disertai mereka (PPBM).

“Pekira memperjuangkan nasib para usahawan terutama golongan muda dan perkara itu menjadi intipati penting yang menyebabkan mereka mahu menyertai parti ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, dengan kemasukan secara beramai-ramai ahli PPBM daripada golongan muda itu ia secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada PRU-14.

Tambah beliau, Pekira memperjuangkan masa depan dan pembangunan golongan usahawan dan perjuangan itu lebih jelas dan bermanfaat.

“Perjuangan PPBM hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri sahaja. Mereka tidak memikirkan tentang pembangunan ahli sebaliknya, hanya bermatlamatkan politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sana mamak sini pun mamak. Apalah nasib melayu kalau dah berpecah dan bertelagah sama sendiri.

Comments are closed.