Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – PKR masih enggan menerima hakikat selepas terputus kerjasama politik dengan Pas apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih meneruskan perbincangan secara senyap-senyap dengan parti Islam itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR mengakui mereka mengadakan perbincangan dengan Pas tanpa melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain dan menyifatkan ia ada tidak ada kena mengena dengan blok pembangkang.

“Setakat ini masih belum ada apa-apa keputusan lagi berkaitan perbincangan dengan Pas…perbincangan kerjasama dengan Pas ini hanya melibatkan PKR sahaja, bukan Pakatan Harapan.

“Ingin saya tegaskan, apa-apa perbincangan dengan Pas setakat ini merupakan inisiatif daripada PKR, ianya tiada kena-mengena dengan Pakatan Harapan,” kata Azmin semada ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Aidiladha di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau bukan menjadi wakil PH dalam rundingan itu tetapi ia merupaka langkah untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas.

“Saya tidak boleh mewakili Pakatan Harapan, sebab itu saya katakan inisiatif itu atas kapasiti PKR untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas,” katanya.

April lalu, Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan ini.

Secara tidak langsung hubungan Pas di Selangor dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan seperti DAP, PKR dan PAN juga berakhir.

Bagaimanapun, Pas Selangor masih mengekalkan jawatan Exco Kerajaan Negeri di Selangor. – MalaysiaGazette