Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Sejarah politik perkauman yang wujud dalam DAP bermula selepas Barisan Nasional (BN) mentadbir negara sejak 20 tahun lalu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu mendakwa, DAP juga muncul sebagai sebuah parti yang diwujudkan bagi memecahbelahkan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Menurutnhya, dakwaan DAP bahawa UMNO mengetengahkan politik perkauman juga bersifat dangkal apabila sejarah penubuhan UMNO jelas membuktikan perjuangan membela nasib masyarakat bukan Melayu tidak pernah diketepikan.

“DNA DAP ini berbeza dengan pelbagai parti politik dalam negara kerana asal usulnya adalah PAP di Singapura. Justeru, ia sangat berlainan dengan Pas, PKR dan PPBM yang jelas adalah serpihan UMNO.

“DAP juga mempunyai DNA tertentu dan terbukti daripada perjalanan PAP hingga membentuk parti berkenaan, selain sering menakutkan kaum Cina demi membangkitkan kemarahan masyarakat terbabit terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal pro BN hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut menyifatkan agenda terbaharu yang cuba diketengahkan DAP dilihat lebih bersifat tidak perlu memerintah, asal dapat menguasai’ apabila parti itu sedia bekerjasama dengan PPBM yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Ia jelas apabila DAP tiba-tiba sedia menjalin kerjasama dengan musuh tradisi mereka (Dr Mahathir) apabila beliau sudah tidak lagi berkuasa dalam pentadbiran negara. Mereka hanya perlukan Dr Mahathir untuk memecahbelahkan kaum Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette