Home Politik Ibrahim bertanding di Pasir Mas

Ibrahim bertanding di Pasir Mas

Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali yang disebut-sebut akan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini menafikan mengintai kerusi Parlimen Rantau Panjang.

Sebaliknya, beliau kekal dengan keputusannya untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas atas permintaan rakyat di kawasan itu.

Bercakap kepada Malaysia Gazette di sini, hari ini, Dr. Ibrahim berkata, beliau mempunyai ramai pengikut dan penyokong di parlimen itu (Pasir Mas) dan tidak ada sebab untuk bertanding di Rantau Panjang.

“Hampir setiap minggu, sama ada ketika saya masih dalam UMNO mahupun selepas dipecat, saya selalu balik ke kawasan (Pasir Mas) berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk. Mereka sentiasa dekat di hati saya dan mereka juga meminta saya bertanding.

“Kalau saya bertanding pun, Pasir Mas adalah pilihan raya kerana pengundi saya ada di sini,” katanya.

Ditanya mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau akan bertanding di Rantau Panjang, Dr. Ibrahim menjelaskan, mungkin berlaku kekeliruan antara parlimen itu dengan Pasir Mas. – MalaysiaGazette

Comments are closed.