KUALA LUMPUR- Larangan buku kerja untuk murid darjah 1 hingga 3 dan pengehadan penggunaan buku kerja untuk murid darjah 4 hingga 6 telah mencetuskan reaksi berbeza daripada masyarakat Cina.

Keadaan itu berlaku kerana sesetengah sekolah Cina menggunakan sehingga lapan buku kerja untuk satu-satu mata pelajaran sahaja.

Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, walaupun sesetengah ibu bapa mengalu-alukan langkah yang bertujuan mengurangkan berat beg sekolah murid itu, sesetengah ibu bapa bagaimanapun bimbang dengannya.

“Ibu bapa ini mungkin bimbang bagaimana anak mereka akan mengisi masa yang terluang, mereka akhirnya mungkin menghantar anak ke pusat tuisyen,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, larangan penggunaan buku kerja di darjah satu hingga darjah tiga juga memaksa guru menyelaraskan semula proses pembelajaran.

“Sebagai contoh jika masa pembelajaran yang diperuntukkan untuk seorang guru ialah sejam, apakah yang guru itu akan lakukan untuk mengisi masa yang terluang selepas dia habis mengajar?” katanya.

Menurutnya, sesetengah guru mungkin mengambil pendekatan memberi latih tubi kepada murid dengan menyalinkan soalan di papan hitam atau mencetak soalan latihan daripada buku kerja.

Tindakan itu, menurut Shee Fatt, bagaimanapun akan menimbulkan isu hak cipta dan ia adalah tidak digalakkan.

“Pada masa yang sama, para cikgu tidak mungkin mempunyai masa terluang untuk memikirkan soalan sendiri untuk melatih murid,” katanya.

China Press pula melaporkan bahawa sesetengah sekolah rendah Cina menggunakan sehingga lapan buku kerja untuk satu-satu subjek dan jumlahnya perlu dikurangkan kepada hanya satu mengikut pekeliling Kementerian Pendidikan untuk murid darjah empat hingga enam.

“Untuk subjek Bahasa Cina sebagai contoh, buku-buku kerjanya terdiri daripada pemahaman, karangan, tatabahasa, penggunaan perkataan, simpulan bahasa, bunyi atau pinyin, strok tulisan serta kaligrafi.”

Kwong Wah Daily dalam editorialnya pula menyokong dasar yang diumumkan Kementerian Pendidikan dan berpendapat pendidikan tidak harus mengutamakan peperiksaan semata-mata.

“Kerana bimbang anak kami ketinggalan dalam proses pelajaran, ia telah menyebabkan beg sekolah mereka semakin berat.

“Pendidikan tidak harus tertumpu kepada pengetahuan sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menggunakan ilmu yang ada untuk berbakti kepada masyarakat.”

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, kementeriannya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru besar mahupun guru yang gagal mematuhi surat pekeliling berkaitan penjualan dan penggunaan buku kerja murid sekolah rendah.

Katanya, buku kerja tidak dicadangkan kepada murid tahap satu iaitu darjah 1, 2 dan 3.

Bagi murid-murid Tahap 2, hanya satu judul buku kerja sahaja dibenarkan untuk setiap murid bagi setiap satu mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.- MalaysiaGazette