Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Himpunan Selamatkan Malaysia, Hapus Kleptokrasi Sabtu lalu hanya berjaya mengumpulkan kira-kira 4,000 peserta, kata Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Katanya, beliau mendapat angka juga daripada laporan polis yang bertugas pada himpunan berkenaan.

“Laporan dari beberapa media pula menganggarkan kehadiran kurang 10,000 orang. Jauh dari sasaran penganjur iaitu 100,000 orang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Besar itu, jumlah kehadiran yang jauh dari sasaran secara jelas memalukan Pakatan Harapan (PH).

“Masakan tidak, Menteri Besar Selangor adalah (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali iaitu Timbalan Presiden PKR. Salah seorang Exco kerajaan negeri iaitu Nik Nazmi (Nik Ahmad) adalah Ketua Angkatan Muda PKR, salah satu penganjur utama perhimpunan itu pula Pemuda PH.

“Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PH Selangor seharusnya malu dengan angka itu. Jika diikutkan logik dari keputusan PRU13 lalu, dua kerusi parlimen Petaling Jaya iaitu Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara merekodkan jumlah kemenangan parti di bawah PH dengan majoriti lebih 60,000.

“Jumlah majoriti di Petaling Jaya ini sahaja sudah boleh memenuhi kira-kira 60 peratus sasaran mereka. Tetapi Azmin gagal menterjemahkan angka ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ketua AMK pula, Nik Nazmi seharusnya mencermin muka dengan kepimpinannya.

Ujarnya, kehadiran golongan muda yang sangat kecil membuktikan Nik Nazmi tiada mempunyai pengaruh bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah ahli AMK itu sendiri.

“Dia (Nik Nazmi) perlu sedar, semua perhimpunan pembangkang sebelum ini digerakkan oleh golongan muda. Kelibat penggerak golongan muda dalam perhimpunan sebelum ini juga langsung tidak kelihat.

“Tidak hairanlah jika sebelum ini Nik Nazmi hanya mampu berucap di hadapan ribuan kerusi kosong ketika kongres sayap yang diketuainya,” ujar Budiman.

Menurutnya, apa yang pasti PH tentu merindukan Pas, parti yang telah ditalakkan mereka. – MalaysiaGazette

Comments are closed.